Thursday, April 21, 2011

ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU

Ditulis Oleh: SHARIFAH NORAISHAH BTE SYED IBRAHIM


PENGENALAN

Setiap masyarakat mempunyai cara tersendiri dalam menjalankan tradisi dan adat budaya masing-masing. Begitu juga di dalam upacara perkahwinan. Di kalangan orang Melayu, perkahwinan merupakan satu perkara terpenting dalam kehidupan mereka. Ia adalah satu tahap sejarah dalam hidup seseorang.

Oleh kerana itulah, perkahwinan perlu dirancang supaya segala upacara dapat dijalankan sebaiknya-baiknya. Namun dalam konteks tradisi perkahwinan masyarakat Melayu, idea dan amalan dapat dikenalpasti adalah menurut pengertian budaya dan kepercayaan yang dijunjungi. Seperkara yang tidak dapat diketepikan, tradisi perkahwinan Melayu jelas sekali mempunyai perkaitan yang begitu rapat dengan tumbuhan semulajadi. Malah masyarakat Melayu amat berpegang kepada pepatah yang berbunyi "Biar mati anak jangan mati adat".

Biarpun tidak banyak yang memahami falsafah dan mempelajari logik adat tersebut secara mendalam, namun sekurang-kurangnya masyarakat buat masa ini masih memerlukannya. Untuk tujuan meneliti idea dan amalan tersebut serta perkaitannya dengan tumbuh-tumbuhan. Fokus perbincangan merangkumi empat peringkat tersebut:

1- Merisik dan meminang

2- Pertunangan

3- Persiapan sebelum bersanding seperti berandam dan sebagainya

4- Bersanding dan berinai






MERISIK DAN MEMINANG

Orang Jawa turun ke dusun,

Singgah sejenak dipinggir kota,

Kami membawa sirih tersusun,

Sudilah sepiak membuka kata.

Orang dusun pergi ke huma,

Bawa ke pekan seikat keladi,

Sirih tersusun kami terima,

Sila nyatakan hasrat di hati.

Adat istiadat merisik dan meminang dalam masyarakat Melayu bukan sahaja dituntut dalam agama bahkan ditagih dalam adat. Ia merupakan permulaan istiadat di mana pihak lelaki menghantar seorang wakil ke rumah pihak perempuan untuk dipinang. Walaupun telah diketahui peminangan tersebut akan diterima, namun syarat menghantar wakil perlu dilakukan sebagai membuka tirai kira bicara.

Upacara ini dilakukan, untuk melahirkan tujuan mereka sebenarnya secara rasmi. Ia dilakukan pada peringkat permulaan secara tidak langsung tetapi mempunyai maksud untuk bertanyakan sama ada si gadis sudah berpunya atau belum. Amalan ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat mengenai diri perempuan yang hendak dipinang. Setelah tiba masa yang sesuai, wakil tadi akan berterus terang tentang hajat mereka sebenarnya.

Kebiasaannya semasa upacara ini, pihak lelaki turut membawa bersama sebentuk cincin tanda dan tepak sirih disertakan sekali dengan pinang , kapur dan gambir. Tepak sirih ini dipanggil sebagai sirih meminang. Jika peminangan tersebut diterima maka pihak lelaki akan menghulurkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan sebagai tanda penerimaan. Manakala cincin tanda sebagai tanda perjanjian penerimaan peminangan tersebut sebelum berlangsungnya upacara pertunangan.

Selesai sahaja upacara ini, kedua-dua belah pihak akan membawa tepak sirih ke tengah untuk disantapi sebagai tanda gembira dan kata sepakat.






2) Pertunangan

Ikatan pertunangan adalah satu perjanjian yang dipersetujui oleh pihak keluarga

lelaki dan perempuan untuk menjodohkan anak mereka dalam tempoh tertentu selepas upacara merisik dan meminang dijalankan. Lazimnya di hari pertunangan, pihak lelaki turut menghantar belanja yang disertai dengan beberapa hadiah iringan.

Dalam adat ini, hantaran tepak sirih merupakan satu bingkisan paling utama, penuh bermakna lagi syahdu berbanding daripada bingkisan–bingkisan lain yang dipersembahkan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Daun sirih terpilih digubah indah disertai kapur, gambir dan buah pinang yang telah dikacip.

Di antara barangan hantaran yang kebiasaannya dibawa oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan iaitu

1. sirih junjung yang digubah cantik untuk mengelapai hantaran

2. sebentuk cincin pertunangan

3. satu set bahan persolekan

4. bunga rampai

5. sepasang baju

6. kuih muih

7. buah-buahan

Setiap jenis hantaran diletakkan di dalam sebuah pahar dan hantaran-hantaran

tersebut akan dikelapai oleh sirih junjung yang telah digubah tadi. Pada kebiasaannya, bilangan barangan hantaran adalah berangka ganjil dan mengikut kemampuan pihak lelaki serta mengambil kira kemampuan pihak perempuan.

Buah-buahan dan bunga rampai lazimnya merupakan barang hantaran wajib kerana sifatnya yang manis dan berbau wangi. Ia boleh dianggap sebagai harapan kedua-dua belah pihak agar perjanjian perhubungan tersebut akan berterusan dan berkekalan hingga ke ikatan perkahwinan.

Semasa upacara pertunangan rombongan lelaki akan disambut mesra dan dihulur tepak sirih yang telah disusun kepada tetamu sebagai mengalukan kedatangan rombongan tersebut. Seperti diketahui umum, sirih, pinang, kapur dan gambir sememangnya begitu sinonim dengan masyarakat Melayu.

Manakala hantaran-hantaran pertunangan akan diletakkan di tengah-tengah majlis dihadapan sekalian hadirin. Ketua perwakilan pihak lelaki duduk berhampiran dengan ketua perwakilan pihak perempuan. Sirih junjung diletakkan dihadapan mereka sebagai bunga majlis. Rundingan seterusnya adalah berkisar tentang tempoh pertunangan, jumlah hantaran belanja dan perjanjian untuk menghadapi takdir jika pertunangan itu putus atas apa-apa jua sebab.

Selepas mendapat kata putus mengenai perkara-perkara yang dibincangkan, istiadat menyarungkan cincin akan dijalankan. Cincin disarungkan ke jari manis tangan kanan gadis. Maka dengan tersarungnya cincin pertunangan ini, rasmilah pertunangan tersebut.





3) Persiapan Sebelum Bersanding

Peringkat ini merupakan acara yang meliputi segala persiapan bagi menyambut upacara perkahwinan. Diantaranya istiadat meletak kerja, menghias pengantin, berhinai dan berhias.

i) Istiadat Menghias Pengantin/ Berandam

Orang yang memainkan peranan penting dalam adat istiadat bersanding ialah mak andam. Tiada ketetapan tertentu untuk menempah mak andam jika seseorang itu memerlukannya. Pada umumnya tujuan utama mak andam dipanggil ialah untuk menghias pengantin iaitu pengantin perempuan, disamping mengendalikan agar majlis persandingan berjalan dengan baik. Sesetengah mak andam boleh mengubati atau memulihkan pengantin perempuan sekiranya jatuh sakit atau tidak sedarkan diri. Keadaan ini mungkin disebabkan akibat terlalu penat, terkena buatan orang dan sebagainya.

Kebiasaannya tugas mak andam bermula sehari sebelum hari persandingan diadakan. Keperluan yang disediakan termasuklah kain putih, limau purut (bilangannya tidak ditentukan, biasanya berangka ganjil), bertih, pisau cukur, gunting, sikat, setengah meter kain putih, sirih, air semangkuk, bedak, bunga tujuh jenis dan beberapa bahan keperluan lain. Upacara ini akan dilakukan ditempat yang terasing dari orang ramai seperti di bilik. Orang lain tidak dibenarkan masuk kecuali orang tertentu atas sebab-sebab khusus sahaja.

Upacara dimulakan apabila mak andam, meletakkan kain putih dibahu pengantin perempuan yang diselubungkan diseluruh badan. Sirih yang telah dijampi diberikan kepada pengantin perempuan untuk dikunyah dan diasap dengan kemenyan bersama iringan jampi.

Bunga yang tersedia diasapkan dan dijampi, kemudian dipusingkan dikeliling pengantin serta disapukan ke muka dan badan. Semua upacara ini dilakukan bertujuan untuk menaikkan seri muka pengantin. Setelah itu tepung tawar direnjiskan dikeliling pengantin diikuti menabur bertih dan beras kunyit ke atas pengantin untuk mengelakkan gangguan makhluk asing yang mungkin akan menganggunya.

Peringkat kedua ialah istiadat bercukur. Sebelum memulakannya mak andam membaca jampi ataupun doa sambil mengurut dan memintal anak rambut dibahagian dahi dan memotongnya dengan gunting yang tersedia. Masa berandam dara yang masih dimiliki pengantin itu penting. Kesucian yang masih wujud akan menjadikan wajah berseri-seri terutamanya ketika bersanding nanti.

Tugas mak andam seterusnya mencukur anak rambut dan bulu roma dimuka dan bahagian lain seperti dileher dan ditangan sebelum dibentuk alis. Segala pekerjaan dilakukan dengan penuh hati-hati. Ia dimulai dengan doa dan jampi mantera yang menjadikan muka pengantin berseri-seri.

Upacara berandam terakhir ialah istiadat berlangir, iaitu menyapukan bedak sejuk yang dibasuh dengan air ke bahagian badan dicukur. Kemudian diikuti istiadat mandi berlimau dan dicampur bunga tujuh jenis. Istiadat ini bertujuan sebagai upacara membuang sial pada badan dan menjauhkan segala bala yang akan menimpa sepanjang majlis perkahwinan yang akan dijalankan

ii) Istiadat Berhinai

Istiadat ini boleh dikategorikan kepada tiga iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar. Berinai curi dan berinai kecil dilakukan beberapa hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan. Ia dilakukan terhadap pengantin perempuan sahaja. Bahagian yang di inai ialah kedua tapak tangan, sepuluh jari tangan, bahagian kuku jari kaki dan disekeliling tapak kaki.

Adat ini dilakukan tanpa bantuan mak andam kerana hanya dilakukan untuk bersuka-suka sahaja. Selain itu kesan dari inai tadi boleh dijadikan satu tanda bahawa seseorang baharu sahaja melangsungkan perkahwinan.




4) Bersanding

Istiadat bersanding merupakan upacara kemuncak dalam adat istiadat perkahwinan. Ia merupakan detik paling sejarah dalam hidup seseorang terutamanya kaum wanita. Pada hari inilah para jemputan datang berkunjung untuk meraikan pengantin.

Setelah pengantin perempuan siap dihias dan bersedia untuk menjalani upacara persandingan, wakil pengantin perempuan akan menghantar bunga berdaun sirih kepada wakil pengantin lelaki yang bertandang tidak jauh dari rumah pengantin perempuan.

Pemergian pengantin lelaki dan rombongannya ke rumah pengantin perempuan, diringi dengan pukulan kompang dan arakan bunga manggar. Bunga manggar ialah dua jambak bunga yang diperbuat daripada kertas berwarna warni dan dililitkan pada lidi kelapa serta dicucuk pada dua biji buah betik atau nenas muda yang telah sedia dicacak kepada dua batang galah.

Ketibaan mereka ini disambut dengan taburan bertih, beras kunyit dan air renjisan mawar. Upacara ini dilakukan oleh orang tertentu iaitu saudara yang rapat dengan pengantin perempuan bertujuan agar perkahwinan ini akan dirahmati. Setelah kedua-dua pengantin sempurna didudukkan di atas pelamin, upacara menepung tawar atau berinai besar dimulakan.

Pukulan kompang yang menyambut kedatangan pengantin diteruskan sehingga kedua mempelai duduk di atas pelamin. Sebaik sahaja paluan kompang dihentikan, kanak-kanak berebut-rebut mencapai bunga manggar dari ganggangnya untuk dijadikan mainan. Ini menambahkan lagi kemeriahan majlis perkahwinan ini.

Dalam majlis ini , orang yang dijemput tampil ke hadapan akan menabur beras kunyit dan bertih kepada mempelai. Kemudian baharulah melakukan istiadat menepung tawar iaitu mengambil secubit inai dan diletakkan ditapak tangan kanan dan kiri. Setiap kali selesai upacara menepung tawar dan menginai dilakukan, mak andam mengambil inai daripada tapak tangan pengantin dan meletakkannya ke dalam satu bekas lain.

Kedua-dua pengantin menangkupkan kedua tapak tangan di dada seakan-akan mengangkat sembah sebagai tanda terima kasih kepada orang yang melakukan upacara ini. Setelah sempurna menjalankan upacara ini, orang yang berkenaan pun menundukkan kepalanya sedikit seperti ketika ia mula datang sebagai tanda hormat dan memohon diri pergi.

Majlis ini berlangsung, dalam keadaan meriah dengan hilai tawa para hadirin, diselangi dengan sindir menyindir kepada pasangan pengantin. Setiap orang yang melakukan upacara ini diberi bunga telur yang terpacak di pulut kuning sebagai tanda hati kerana kesudian menepung tawar mempelai. Berakhirnya upacara ini bermakna sempurnalah adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu yang telah dijalankan. Istiadat seterusnya ialah upacara menyambut menantu yang dilakukan di rumah pengantin lelaki.

Penggunaan Rempah Ratus dalam Istiadat Berinai adalah sebagai:

1. Beras kunyit ialah sebagai ganti emas yang pernah diamalkan oleh masyarakat

zaman dahulu kepada mempelai pengantin sebagai tanda kegembiraan.

2. Beras basuh sebagai simbol doa restu mereka kepada mempelai dan pengantinsupaya murah rezeki sehingga ke anak cucunya kelak.

3. Bertih ialah sebagai simbol supaya berkembang keturunan mereka hasil dari perkongsian hidup nanti.

4. Air tepung tawar sebagai penawar sewaktu mengalami sakit pening dan lain-lain penyakit semasa menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

5. Inai ialah sebagai simbol atau tanda bahawa kedua-dua mempelai masih mempunyai dara yang dikawal dengan kehormatan diri untuk menjadi satu kemegahan bagi kedua-dua keluarga mempelai.





KESIMPULAN

Penggunaan tumbuh-tumbuhan dalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu tidak boleh dipertikaikan. Menyentuh tentang adat istiadat perkahwinan orang Melayu, segala bentuk upacara, pantang larang yang diamalkan dan jampi mantera dibacakan oleh mak andam serta penggunaan tumbuhan tertentu seperti beras kunyit, bertih, inai dan seumpamanya mempunyai signifikasi tersendiri. Di antaranya bertujuan untuk melindingi pasangan pengantin dari gangguan makhluk-makhluk halus. Manakala upacara lain seperti bersanding, adat berandam, berarak menggunakan bunga manggar dan sebagainya bertujuan untuk bersuka-suka di samping mengeratkan hubungan kedua-dua pengantin yang baru dinikahkan dengan saudara mara kedua-dua belah pihak yang baru berkenalan. Walaupun setiap negeri mempunyai istiadat yang agak berbeza, tetapi secara umumnya ianya adalah hampir-hampir sama serta mempunyai matlamat yang tertentu.

No comments:

Post a Comment